Mawar Rashid ‘Terdiam’ Dalam Lagu
- Entertainment News
- Sep 6, 2024
- 2 min read

Lebih dikenali sebagai seorang pelakon sebelum ini, artis jelita Mawar Rashid mengambil langkah
berani untuk mengembangkan bakatnya ke bidang nyanyian pula.
Muncul dengan sebuah karya berjudul Terdiam, lagu ini merupakan buah tangan sulungnya dalam
arena muzik tempatan.
Lagu ini mencerminkan rasa introspeksi yang mendalam dan perjuangan dengan kekurangan peribadi
serta kesakitan emosi. Liriknya menggambarkan kesunyian dan kesedihan, sambil mempertanyakan
sama ada ini hanya satu fasa kehidupan.
Dalam karya ini juga, Mawar merenung kembali detik-detik kebahagiaan yang sementara dan
berusaha mencari makna walaupun menghadapi cabaran. Dia mengakui kekurangan dirinya dan
berusaha untuk sembuh serta tersenyum lagi, walaupun dia merasa letih dan mungkin memerlukan
lebih daripada sekadar rehat.
Secara keseluruhannya, lagu ini adalah tentang usaha untuk mencari ketenangan dan kegembiraan di
tengah-tengah dilema peribadi.
Dicipta dan ditulis oleh Amir Hasan dan Madebyartin, Mawar mengatakan bahawa dirinya berpuas
hati dengan hasil kerja mereka.
“Saya sudah mengenali Amir dari zaman kolej lagi jadi saya tahu dia mampu berikan apa yang saya
mahu selepas saya jelaskan segalanya. Saya mahukan sesuatu yang berbeza dan amir bersama-sama
Madebyartin berjaya menghasilkan apa yang saya mahu,” ujar Mawar membuka bicara.
Lagu ini turut menampilkan sebuah klip video arahan pelakon popular Janna Nick.
“Saya memilih Janna kerana saya tahu akan hasil kerjanya selain bakat dan pengalaman yang ada pada
dirinya. Lagipun saya sudah lama mengenalinya dan saya tahu dia mampu memberikan apa yang saya
mahu.

“Saya juga ingin berkongsi, sewaktu penggambaran video muzik lagu ini, saya termuntah di hujung
rakaman kerana pening gara-gara terlalu banyak aksi berpusing untuk tarian yang digunakan dalam
video. Malah ada babak cadangan Janna yang membabitkan pembakaran bunga dan memerlukan saya
bertindak dengan cepat. Saya tak akan lupakan babak itu,” ujar Mawar tentang video muzik lagu
Terdiam.
Bakal dikeluarkan pada 6 September 2024, ‘Terdiam’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati
melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube
Music.
Comments